PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara agensi dipantau “secara dekat” susulan pendedahan ketirisan melibatkan anggota Jabatan Kastam, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Ini peringatan untuk peringkat penguatkuasaan kastam, LHDN, imigresen, kita sedang pantau dari dekat dan saya harap sangat supaya kita dapat elakkan laporan-laporan kecuaian ini,” katanya pada perhimpunan bulanan warga kementerian kewangan di Putrajaya.
“Kerana bila kita lihat kadang sergahan di bawah masih ada kecoboran ketirisan dan amalan lapuk yang merosakkan sendi negara. Baru ini kastam, itu memang sangat mengetuk pintu hati dan perasaan saya kerana (kastam) di bawah keluarga menteri kewangan.”
Minggu lalu, SPRM mendedahkan sindiket penyeludupan membabitkan 34 anggota Jabatan Kastam di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang yang dipercayai menerima wang rasuah bernilai lebih RM4.7 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata jumlah ketirisan melibatkan anggota kastam itu mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lepas.
Beliau dilaporkan berkata anggota dan pegawai penguat kuasa berusia 30 hingga 50 ditahan selepas dipercayai menerima wang rasuah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan.
BERITA LANJUT MENYUSUL