PETALING JAYA: Pakar ekonomi menyambut baik inisiatif belanjawan melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan berkata, syarikat berkenaan perlu menyokong memperkukuh usaha Putrajaya memulihkan ekonomi negara.
Inisiatif tersebut boleh membantu mengurangkan pengangguran dan merangsang perniagaan kecil, kata pakar ekonomi Madeline Berma, felo di Akademi Sains dan Yeah Kim Leng dari Sekolah Perniagaan Universiti Sunway.
Inisiatif itu termasuklah MySTEP, projek pekerjaan jangka pendek yang menyaksikan GLC menawarkan 15,000 pekerjaan kontrak dan platform Jana Niaga bernilai RM300 juta bagi membantu pendanaan syarikat kecil dan sederhana.
Selain itu, GLC juga menyumbang sebanyak RM150 juta bagi penyediaan komputer riba kepada pelajar di 500 sekolah, serta peluasan pas perjalanan My30 dan pas perjalanan tanpa had bernilai RM5 kepada pelajar sekolah melibatkan peruntukan sebanyak RM450 juta daripada Prasarana.
Madeline berkata, peruntukan RM700 juta untuk MySTEP adalah penting, terutama sekali susulan kadar pengangguran kini mencecah 5.3%.
Program MySTEP juga berjalan seiring dengan inisiatif melatih semula pekerja.
“Walaupun bantuan kerajaan berperanan sebagai penyelesaian jangka pendek, penawaran kerja oleh GLC menyediakan penyelesaian jangka panjang, walaupun secara kontrak.”
Yeah berkata, penularan wabak Covid-19 memberi peluang kepada GLC untuk menjustifikasikan kewujudan mereka sebagai lanjutan bagi agenda sosio-ekonomi kerajaan.
“Dengan menyediakan peluang perantisan, malah latihan industri, GLC boleh membantu rakyat berdiri semula.
Mudah-mudahan usaha itu boleh mengurangkan kesan buruk pengangguran, terutama dalam kalangan belia.”
Madeline dan Yeah percaya, masih terdapat banyak GLC yang boleh membantu usaha kerajaan.
Yeah berkata, GLC dalam sektor kesihatan hendaklah membuat pelaburan dalam usaha mencari vaksin Covid-19, dengan menambah bahawa langkah terbaik bagi memastikan pemulihan ekonomi terhasil ialah dengan mengawal pandemik tersebut.
Madeline berkata, GLC harus bertindak di luar kotak tanggungjawab sosial korporat semata-mata dan bekerjasama dengan syarikat pemula tempatan dan inisiatif sosial bagi menambah nilai serta mewujudkan peluang untuk rakyat.
Beliau berkata, GLC perlu juga membuat pelaburan dalam inisiatif berteknologi rendah di kawasan kurang infrastruktur.