PETALING JAYA: Kerajaan memberi peringatan kepada premis makanan, terutamanya yang menghidangkan makanan secara bufet supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak tindakan diambil terhadap mereka.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob memberi peringatan itu kerana terdapat premis makanan yang menghidangkan maknan secara bufet memberi kebebasan kepada pelanggan mengambil makanan tanpa kawalan pramusaji.
“Mesyuarat Khas Menteri mengambil maklum bahawa masih terdapat premis makanan yang menghidangkan maknan secara bufet tanpa pramusaji atau penyediaan sarung tangan pakai buang untuk mengambil makanan.
“… Ini tidak mematuhi SOP yang ditetapkan dan pengusaha premis maknan perlu memastikan adanya pramusaji ataupun sarung tangan pakai buang bagi kegunaan pelanggan sekiranya menghidang makanan secara bufet.
“Pelanggan tidak boleh ambil manan sendiri bagi menggelak penggunaan peralatan mengambil makanan secara bergilir-gilir,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, pada hari ke-121 PKP dilaksanakan semalam, 68 individu ditahan atas kesalahan melanggar SOP.
“Daripada jumlah itu, 14 individu direman, manakala 54 dikenakan kompaun.
“Antara kesalahan ingkar PKP, termasuklah aktiviti dalam kelab malam dan melibatkan kehadiran ramai yang menyukarkan penjarakan sosial,” katanya.
Amaran abai SOP
Ismail turut memberi amaran bahawa orang ramai masih terikat dengan SOP yang ditetapkan walaupun banyak sektor dibenar dibuka.
Katanya, mana-mana orang yang ingkar berdepan kemungkinan dihukum, termasuk tindakan mahkamah dan penjara.
“Saya tahu ramai yang kelihatan sudah mula lupa dan melanggar SOP kerana menganggap PKP seolah-olah sudah ditamatkan dan tiada penguatkuasaan dijalankan.
“Saya ingatkan semua supaya terus patuhi SOP kerana tindakan masih boleh dikenakan seperti biasa kerana Akta 342 masih dilaksanakan,” katanya.
Beliau mengambil contoh beberapa negara yang menarik balik larangan PKP, tetapi terpaksa melaksanakannya semula selepas rakyat ingkar sekali gus menyebabkan jangkitan Covid-19 meningkat.
“Kerajaan telah membuka semua sektor ekonomi serta aktiviti harian. Namun begitu, kita harus tetap berwaspada dan memastikan kawalan kendiri serta penjarakan sosial sentiasa diamalkan dalam norma baru,” katanya.