Sebuah bangunan di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza yang musnah dibedil rejim Zionis minggu lalu. (Gambar AP)
ISTANBUL: Kumpulan Palestin, Hamas pada Jumaat berkata Israel tidak mengambil serius rundingan gencatan senjata Gaza, lapor Agensi Anadolu.
Bercakap kepada saluran TV Al-Aqsa, pegawai kanan Hamas, Osama Hamdan berkata Israel tidak memberikan sebarang cadangan tulen dan “tidak serius dalam rundingan (gencatan senjata)”.
“Sebarang cadangan dikemukakan kepada kami (Hamas) yang memenuhi tuntutan rakyat kami, menghentikan penderitaan mereka dan mengakhiri pencerobohan Israel sepenuhnya, bukan secara sementara, kami akan terima tanpa ragu-ragu,” kata Hamdan.
Beliau berkata, Israel tidak mampu mematahkan tentangan Palestin walaupun perang di wilayah itu berlarutan setahun sejak 7 Okt 2023.
Israel membunuh lebih 43,000 orang di Gaza dan menjadikan kawasan itu tidak layak didiami.
Usaha diketuai Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar untuk mencapai gencatan senjata gagal setakat ini disebabkan keengganan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menghentikan perang.
Kumpulan penentang itu menyatakan mereka tidak akan menerima sebarang cadangan gencatan senjata yang tidak merangkumi pengunduran Israel dari Gaza dan pengakhiran permusuhan sepenuhnya.
Delegasi Israel pulang dari Doha minggu ini, dengan pejabat perdana menteri menyatakan perbincangan antara pengantara dan Hamas akan diteruskan dalam beberapa hari akan datang untuk “menilai kebolehjayaan rundingan serta usaha berterusan memajukan perjanjian”, menurut laporan Agensi Anadolu.
Source link