Ismail Sabri Yaakob bergambar dengan ahli keluarganya ketika bercuti di UAE dari 22 Dis hingga 3 Jan lalu. (Gambar Ismail Sabri Yaakob)
PETALING JAYA: Ismail Sabri Yaakob menafikan tuduhan beliau antara dua naib presiden Umno terbabit dalam usaha menjatuhkan Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi menjelang Perhimpunan Agung Umno minggu depan.
Ia susulan dakwaan seorang penulis blog yang tular media sosial berhubung dua naib presiden Umno, yang turut mengaitkan Ismail mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin di London untuk menjatuhkan Zahid sebagai presiden Umno.
Menurut dakwaan itu, gerakan yang dinamakan “Langkah London” bertujuan menjatuhkan Zahid dalam usaha menggulingkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
Ismail menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah yang sengaja dicipta untuk memburukkan namanya sebagai pemimpin Umno.
Bekas perdana menteri itu menjelaskan beliau bercuti dengan keluarganya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 22 Dis hingga 3 Jan lalu, tarikh yang didakwa beliau menemui beberapa pemimpin politik di London.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya. Ini merupakan fitnah jahat.
“Saya berdiam diri selepas PRU15 sehingga kini, tiada kenyataan mengenai Umno, tiada kenyataan mengenai kerajaan. Tujuan saya berdiam diri supaya tiada spekulasi dan fitnah mengaitkan saya.
“Tapi pemfitnah yang tidak mengenal dosa ini masih terus mengaitkan saya, sebab itu saya menganggap ini merupakan fitnah berniat jahat,” katanya ketika dihubungi FMT melalui WhatsApp.
November lalu, Ismail menafikan dakwaan pertemuan tertutup membabitkan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan PAS diadakan di Tropicana Golf & Country Resort.
Ismail dilaporkan berkata, semua tindakannya disalah tafsir sehingga dirinya dianggap pengkhianat jika bertemu rakan daripada PAS, manakala pihak yang bertemu pimpinan Pakatan Harapan pula dianggap hero.