MTUC berkata, pindaan Akta Kerja akan memberi manfaat kepada pekerja dan majikan, sekaligus kepada ekonomi.
PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu kerajaan supaya tidak melayan gesaan peruncit untuk menangguhkan penguatkuasaan Akta Kerja.
Presidennya, Effendy Abdul Ghani, berkata penangguhan sekali lagi tidak sepatutnya dibenarkan memandangkan majikan sudah diberi masa secukupnya untuk bersedia mendepani perubahan.
Pindaan itu pada awalnya dijadual dikuatkuasa pada September, namun dilanjutkan ke 1 Jan.
“Isu penangguhan sekali lagi tidak berbangkit,” katanya kepada FMT, sambil menambah perubahan berkenaan akan memberi manfaat kepada pekerja dan majikan, selain ekonomi.
Pindaan akta terbabit memperuntukan 98 hari cuti bersalin, mengurangkan tempoh kerja daripada 48 ke 45 jam seminggu dan meluaskan pembayaran kerja lebih masa bagi mereka yang menerima gaji sehingga RM4,000 sebulan.
Effendy berkata, kenaikan siling gaji mereka yang berhak mendapat pembayaran lebih masa akan membawa kepada pendapatan lebih tinggi, yang boleh diterjemahkan kepada kuasa beli yang lebih tinggi.
Berhubung waktu kerja fleksibel, beliau berkata, ia dibuat berdasarkan persetujuan bersama antara majikan dan pekerja.
Semalam, lima persatuan mewakili peruncit menggesa Menteri Sumber Manusia V Sivakumar untuk menangguhkan pelaksanaan pindaan akta itu sehingga dialog selesai.
Persatuan berkenaan berkata, industri runcit baharu pulih daripada kesan buruk susulan pandemik Covid-9 dan mereka bimbang kesan buruk yang akan dihadapi apabila akta itu dikuatkuasakan.
Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Husman, berkata pihaknya memerlukan lebih masa bagi melakukan persiapan.
“Kami menyokong perubahan itu, namun isunya adalah masa (pelaksanaan),” katanya. “Sekarang bukan masa sesuai melaksanakan perubahan yang akan meningkatkan kos perniagaan.”
Katanya, ada keperluan menyemak semula beberapa pindaan termasuk klausa menyatakan akta terbabit meliputi semua pekerja tanpa mengira kedudukan.
“Mengikut pindaan, mereka yang bergaji RM4,000 dan ke atas layak mendapat cuti rehat, cuti umum dan waktu kerja ditetapkan, namun tiada disebut sama ada mereka boleh dipanggil bekerja pada cuti rehat atau cuti umum atau dilanjut waktu bekerja,” katanya.
“Ini perlu diperjelaskan kerana banyak syarikat multinasional melabur di Malaysia dan mereka beroperasi di banyak negara yang mempunyai zon masa berbeza. Ini memerlukan pekerja tempatan bekerja pada waktu di luar kebiasaan.”