HONDA Malaysia mencatatkan rekod tersendiri apabila tiga model keluarannya Jazz, City dan CR-V berada di kedudukan tertinggi dalam segmen masing-masing melalui JD Power 2019 Malaysia Initial Quality StudySM (IQS) bagi kualiti kenderaan baharu.
Model Jazz dan City mencatatkan prestasi baik apabila mengungguli segmen masing-masing dengan skor 68 per 100 kenderaan (PP100) dan 59 PP100.
Model CR-V menjadi peneraju dalam segmen kenderaan bukan nasional bagi tahun kedua berturut-turut dengan skor 64 PP100.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, pihaknya kami gembira dengan pencapaian yang dicatatkan model keluaran Honda ini kerana ia melambangkan kegembiraan pelanggan.
“Kami akan terus konsisten memperkenalkan Next Generation Advanced Technology sebagai komitmen kami dalam menawarkan produk berkualiti tinggi.
“Komitmen ini menzahirkan falsafah Kegembiraan Penghasilan dalam pengeluaran kenderaan kami bagi memastikan pelanggan menikmati kegembiraan pembelian dalam memiliki kenderaan Honda,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kilang pengeluaran Honda Malaysia di Pegoh, Melaka akan terus memberi tumpuan kepada menghasilkan produk berkualiti dan selamat selain mesra alam sekitar.
Dalam pada itu, model City menjadi model terlaris dengan sumbangan 36 peratus kepada jumlah jualan pada tahun lalu.
Manakala Jazz menyumbang 13 peratus jualan kepada prestasi tahun lalu dan CR-V (14 peratus).