PETALING JAYA: Pencampuran beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI) yang berlaku sejak tahun 1970-an dibuat bagi memenuhi citarasa pengguna, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Mohamad Sabu.
Menurutnya, rumusan itu dibuat oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menerusi kajian ke atas industri padi dan beras pada awal tahun 2024.
Kajian tersebut dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara, Disember lalu.
“Berdasarkan dapatan MyCC, berlaku amalan proses pencampuran BPT dengan BPI di dalam industri padi dan beras. MyCC merumuskan bahawa tujuan pencampuran ini adalah untuk memenuhi cita rasa pengguna tempatan dan untuk menghasilkan variasi jenama di pasaran,” katanya.
Mohamad berkata demikian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada soalan Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian), yang mohon dinyatakan hasil kajian terperinci yang dijalankan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengenai cadangan penyelarasan harga baharu BPT serta langkah susulan daripada kajian tersebut.
Pada 26 Feb lalu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dilapor mengesahkan kira-kira 40% hingga 50% BPI daripada 5,000 sampel dianalisisnya bercampur BPT.
Pegawai penyelidik kanan sains biologi (genetik), Mohd Syahril Firdaus, dari Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi Mardi dilapor berkata campuran beras dipercayai berlaku di peringkat pengilang, dengan petani menanam padi menggunakan benih tempatan.
Katanya, analisis pada 2023 dan 2024 itu bagi mengenal pasti isu kehilangan BPT di pasaran seiring penubuhan Petugas Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan dua tahun lalu.
Dalam pada itu sebagai usaha awal untuk memastikan keseimbangan dalam industri padi, Mohamad berkata pihaknya menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik, yang berkuat kuasa 16 Feb 2025.
KPKM turut mengekalkan BPT pada harga RM2.60 sekilogram, dengan menyerap sebahagian kos pengeluaran BPT sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan mulai 1 Mac 2025 hingga 31 Ogos 2025, bagi memastikan keberadaan bekalan sebanyak 24 juta kampit BPT 10kg secara berperingkat di pasaran.
“Langkah ini untuk membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah mendapat bekalan beras pada harga berpatutan dan seterusnya membantu mengurangkan kos sara hidup mereka,” katanya.