Ketua Polis Daerah Kemaman Hanyan Ramlan berkata, pihaknya sedang membuat pemantauan di daerah yang sudah mula dilanda banjir itu bagi memastikan keselamatan dan keadaan terkawal. (Gambar Facebook)
KUALA TERENGGANU: Kemaman menjadi daerah pertama dilanda banjir gelombang pertama di Terengganu susulan Monsun Timur Laut (MTL) setelah menerima taburan hujan lebat sejak awal pagi tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Balai Raya Meraga Beris pada 1 tengah hari tadi, menempatkan 12 mangsa daripada dua keluarga.
“Mangsa terdiri lima lelaki dan tiga wanita dewasa serta empat kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan.
“Kesemua mangsa terlibat dari perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong. Operasi pemindahan masih berjalan termasuk di Kampung Baru Kemasik.”
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Hanyan Ramlan ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang membuat pemantauan di daerah itu bagi memastikan keselamatan dan keadaan terkawal.
Beberapa laluan dari Chukai ke Paka, Dungun, dinaiki air tetapi masih boleh dilalui, katanya sambil menasihatkan pengguna jalan raya berwaspada.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan tahap buruk di Terengganu, Pahang dan Johor berkuat kuasa hingga 23 Nov ini.
Source link