PETALING JAYA: Malaysia Airlines, Malindo dan Firefly dikritik kerana didakwa kekurangan peralatan keselamatan untuk kru serta penumpang tidak mematuhi penjarakan sosial.
Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) berkata, syarikat penerbangan yang tidak boleh menyediakan peralatan keselamatan asas untuk anak kapal perlu menghentikan penerbangan.
Katanya, kru Malaysia Airlines diminta menggunakan semula topeng mereka “selama beberapa hari” kerana bekalan tidak mencukupi, manakala kru Malindo dan Firefly pula tidak diberikan peralatan sewajarnya.
Kesatuan itu “tidak percaya” dengan kekurangan peralatan keselamatan asas dan mendakwa terdapat laporan ramai kru penerbangan yang dijangkiti, tetapi ia tidak memberikan sebarang butiran.
Nufam berkata, satu pekeliling terbaru MAS menyatakan hanya penerbangan London akan diberikan gogal, apron dan topeng.
“Bagaimana dengan penerbangan lain?” soalnya.
Kenyataan itu menyusul pengumuman Pejabat Kesihatan Tawau hari ini yang menggesa penumpang pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH2664 dari Kuala Lumpur ke Tawau pada 26 Mac lalu untuk menghubungi pihak berkuasa kesihatan.
Terdapat laporan seorang penumpang penerbangan itu disahkan positif Covid-19, bagaimanapun Pejabat Kesihatan kemudiannya menarik balik notis itu selepas semua penumpang terbabit menghubungi pihaknya.
Nufam berkata, kutleri keluli dalam pesawat perlu digantikan kutleri pakai buang untuk perkhidmatan dalam pesawat, manakala penjarakan sosial tidak dipatuhi kerana penumpang masih duduk berdekatan satu sama lain.
FMT sedang cuba mendapatkan respons syarikat penerbangan terbabit.