K’jaan mungkin turunkan harga petrol RON95, diesel bagi kurangkan kos sara hidup di M’sia-MIDF Research
Kerajaan dijangka mempertimbangkan untuk mengurangkan harga bahan api terutamanya petrol RON 95 dan diesel bagi memastikan kestabilan harga dan mengurangkan kos sara hidup di Malaysia. Pada masa ini, harga siling seliter bagi petrol RON 95 ialah RM2.05, manakala RM2.15 bagi diesel Euro 5 B10, menurut MIDF Research.
“Jika kerajaan menurunkan harga RON95 sebanyak 10 sen kepada RM1.95 seliter bulan depan, kadar inflasi utama Malaysia dijangka susut kepada 2.9% bagi 2023 memandangkan inflasi bukan makanan terus menyederhana kepada 1.3%, manakala inflasi pengangkutan akan menguncup sebanyak 1.7%,” kata MIDF Research seperti yang dilaporkan oleh Bernama.
Tambahnya, menjelang akhir 2023, pengurangan 10 sen itu akan menjadikan kadar inflasi bulanan lebih rendah kepada 1.9% tahun ke tahun. Ini bermakna kerajaan akan mempunyai tambahan RM4.31 bilion untuk perbelanjaan fiskal, yang boleh digunakan untuk matlamat lain.
“Selain itu, kerajaan akan mempunyai ruang fiskal yang lebih baik, memandangkan bahawa nisbah hutang fiskal berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah susut kepada 59.3% pada suku pertama 2023, dan dengan mengambil kira liabiliti luar jangka, angka terkini adalah 76.1%.
“Memandangkan inflasi makanan yang terus meningkat dan tekanan pendapatan yang menurun, kami menjangkakan kerajaan akan memilih untuk mengurangkan harga runcit bahan api, khususnya petrol RON 95 dan diesel dalam tempoh terdekat. Dari segi struktur, sebagai pengimport makanan bersih dan diburukkan lagi dengan penyusutan nilai ringgit, adalah sukar bagi kerajaan untuk mengawal inflasi makanan,” kata firma penyelidikan itu.
Pada separuh pertama 2023, harga minyak mentah Brent berpurata pada USD79.20 setong, yang lebih rendah sedikit daripada anggaran kerajaan sebanyak USD80 setong. Oleh itu, MIDF Research menganggarkan harga pasaran tanpa subsidi untuk RON 95 ialah RM3.10 seliter. Tahun lepas, perbezaan harga RON 95 berbanding harga pasaran mencapai RM1.86 seliter.
“Hasil normalisasi harga minyak global, perbezaan harga bahan api dianggarkan jauh lebih rendah iaitu RM1.05 seliter tahun ini. Dengan perbezaan harga yang lebih rendah, kami percaya jumlah perbelanjaan subsidi akan lebih rendah berbanding tahun lepas,” kata MIDF Research.
Pada tajun lalu, kerajaan membelanjakan sebanyak RM42 bilion untuk subsidi bahan api, merangkumi sebahagian besar daripada perbelanjaan subsidi keseluruhan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan MyTukar.