KUALA LUMPUR : Perbuatan berkongsi atau menyebarkan kandungan lucah mencatat pertuduhan tertinggi yang difailkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di mahkamah bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
MCMC memaklumkan 22 daripada 34 pertuduhan yang difailkan adalah berkaitan perbuatan berkongsi kandungan lucah, yakni kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Mutimedia (AKM) 1998.
Ia diikuti dengan kesalahan berkongsi kandungan jelik sebanyak sembilan pertuduhan, dan berkongsi kandungan palsu tiga pertuduhan, menurut kenyataan MCMC.
Sementara itu, 14 lagi pertuduhan merupakan kesalahan yang dilakukan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, menggunakan aplikasi Facebook,Twitter, Whatsapp, Instagram dan blog.
Menurut kenyataan itu, peningkatan bilangan pertuduhan itu menunjukkan ketegasan MCMC dalam menangani salah guna media sosial dalam kalangan rakyat, selain bagi memastikan kewujudan persekitaran internet yang selamat dan terjamin.
MCMC berkata sebarang perkongsian atau penyebaran kandungan palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 AKM 1998.
Menurut badan itu, disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.