PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan kontraktor rasuah dan penjawat awam terbabit dalam “kartel” untuk menyeleweng wang daripada projek kerajaan.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khasnya, Tan Kang Sai berkata serbuan di Selangor baru-baru ini mendapati pegawai terbabit menerima sogokan berdasarkan nilai projek.
Katanya, ia membabitkan pegawai kanan dan rendah, termasuk Yang Dipertua (YDP) dua pihak berkuasa tempatan (PBT), polis dan jabatan lain.
Beliau yang memuji pendirian kerajaan perpaduan memerangi rasuah dan menegakkan tadbir urus baik, berkata ini perlu dijadikan peringatan dan amaran buat semua penjawat awam dalam meneruskan integriti dan menjalankan tugas penuh bertanggungjawab.

“Oktober lalu, SPRM menahan 11 individu, termasuk anggota polis dan penjawat awam atas dakwaan terbabit dalam sindiket mengurangkan saman trafik. Sindiket itu aktif sejak 2016 dan melakukan transaksi lebih RM5 juta,” katanya dalam kenyataan.
Tan berkata, kontraktor dan pemaju perumahan turut merasuah pegawai negeri untuk kelulusan projek di kawasan masing-masing.
Beliau memetik kes dua bekas YDP PBT direman enam hari atas dakwaan rasuah tahun lalu.
“Menurut fakta kes, kedua-duanya didakwa menerima 5% sogokan daripada keseluruhan nilai projek.
“Tambahan, kedua-duanya turut menerima rasuah dalam bentuk lain, seperti rumah bernilai RM1 juta, wang tunai berjumlah RM500,000 dan pakej percutian ke Eropah. Ini untuk kelulusan perancangan dan pembangunan sebuah projek perumahan.”
Susulan itu, katanya, SPRM menahan dua lagi pegawai yang disyaki terlibat dalam kartel menyeleweng wang daripada projek kerajaan bernilai jutaan ringgit di empat daerah Selangor.
Tan berkata, seorang daripadanya ialah juruukur bahan yang didakwa menerima wang dan barangan daripada kontraktor sebagai pertukaran maklumat sulit berhubung tender pembersihan dan penyelenggaraan.
Katanya, semuanya sudah didakwa di mahkamah, membuktikan sesiapa yang didapati melanggar undang-undang akan berdepan hukuman berat tanpa mengira latar belakang, gelaran atau status sosial.
Beliau menyeru orang ramai membantu SPRM melalui pemberian maklumat.
“Tanpa maklumat mencukupi, sukar untuk SPRM mengambil tindakan lanjut mencegah rasuah,” katanya sambil menambah kegagalan melaporkan amalan rasuah merupakan kesalahan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.
Tan turut mengingatkan orang ramai tidak takut melaporkan amalan rasuah kerana identiti mereka akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
“Laporan boleh dibuat di mana-mana pejabat SPRM berdekatan anda atau melayari laman sesawang kami, hubungi talian bebas tol atau aplikasi MACCMobile kami.”