Ibu kepada pelajar tingkatan empat di MCKK mendakwa KPM tidak memberikan banyak maklumat berhubung kes buli membabitkan anaknya. (Gambar fail)
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan bertemu dengan keluarga kepada pelajar dikatakan menjadi mangsa buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada minggu depan.
Timbalan Menterinya Lim Hui Ying berkata pihaknya telah menghubungi keluarga pelajar tersebut bagi mengatur pertemuan.
“(Pertemuan) pada minggu depan,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri sebuah program.
Semalam, FMT melaporkan kekecewaan ibu kepada mangsa buli di MCKK kerana kekurangan maklum balas daripada KPM berhubung kes terbabit selain ketiadaan pertemuan kedua dicadangkan.
Wanita hanya mahu dikenali Puan F itu mendakwa beliau ada bertemu pegawai KPM sebaik kejadian itu berlaku selain polis dan pentadbir sekolah, namun tiada sebarang maklumat diberikan.
Sebelum ini media melaporkan seorang pelajar Tingkatan 4 MCKK cedera apabila diserang sekumpulan pelajar senior sekolah itu pada September lalu.
Keluarga mangsa telah mendesak pihak sekolah mengambil tindakan buang sekolah terhadap pelajar yang terlibat membuli.
Baru-baru ini, sebuah media melaporkan kenyataan Ketua Polis Perak Yusri Hassan Basri yang mengesahkan kertas siasatan kes dihantar ke Jabatan Peguam Negara, pada minggu lepas.
Difahamkan, berdasarkan penemuan siasatan, polis melihat bahawa kes berkenaan boleh dituduh di mahkamah.
Related Posts