Pengendali perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang, KTM Berhad (KTMB) memaklumkan pihaknya menangguhkan pelaksanaan perubahan jadual sementara yang sepatutnya berlangsung selama tiga hari bermula esok hingga Isnin ini (24-26 Mei 2025) ke tarikh yang bakal diumumkan kelak.
Sebelum ini, KTMB memaklumkan sepanjang tempoh perubahan jadual itu dua laluan utama KTM Komuter iaitu Pulau Sebang – Batu Caves – Pulau Sebang dan Tanjung Malim – KL Sentral – Tanjung Malim serta perkhidmatan tren elektrik (ETS) dijangka mengalami kelewatan hingga 50 minit berbanding jadual asal.
Menurut KTMB, ia adalah bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja menaiktaraf sistem semboyan di laluan Stesen Kepong hingga Stesen Salak Selatan sebagai sebahagian usaha berterusan KTMB untuk meningkatkan kecekapan sistem dan keselamatan operasi tren.
Walau bagaimana pun, buat masa ini, KTMB memaklumkan bahawa semua perjalanan bagi perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang adalah berjalan seperti biasa.
Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran media rasmi KTMB atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTMB di 03-9779 1200.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.