SHAH ALAM: Kerajaan Selangor berpendirian lebih baik ia berbelanja besar untuk menghalang pencemaran air berbanding memberi diskaun bagi caj ke atas penggunaan bila gangguan bekalan tidak berjadual berlaku.
Namun, Menteri Besar Amirudin Shari berkata soal diskaun sedang dibincangkan tetapi akan ditetapkan kemudian.
“kalau kita bagi seolah-olah kita serah pada takdir pencemaran berlaku dan setiap kali berlaku kita kena bayar rebet, ia tidak selesaikan masalah,” katanya pada sidang media hari ini, ketika ditanya adakah kerajaan negeri bercadang memberikan diskaun kepada pengguna bila gangguan air berlaku.
Amirudin menegaskan pihak berkuasa kena sedaya upaya elak pencemaran berlaku, mengatakan rekod menunjukkan pencemaran berjaya dielakkan dari April hingga September dengan pemantauan 24 jam.
“Namun mutakhir ini berulang-ulang berlaku pencemaran dan ia adalah satu yang agak dukacita dan perlu tingkatkan kawalan.”
Amirudin menjelaskan, sebagai contoh, kerajaan perlukan lebih kurang RM4 juta untuk memberikan diskaun RM2 kepada pengguna.
“Lebih baik ambil RM4 juta untuk tambah pegawai yang boleh kesan peringkat awal untuk kita sekat laluan air dari masuk ke dalam loji rawatan air,” katanya.
Sebanyak 8 masalah gangguan bekalan air tidak berjadual dilaporkan tahun ini sehingga Oktober. Terbaharu, sebanyak 1,196,457 pemegang akaun Air Selangor di 1,292 kawasan di Lembah Klang mengalani gangguan selepas loji rawatan air di Sungai Selangor dihenti tugas ekoran pencemaran bau sejak Isnin.
Sementara itu, Amirudin memaklumkan kerajaan bersetuju melakukan 3 ketetapan bagi menangani isu pencemaran air sungai, yang pelaksanaannya dijangka memakan masa lebih kurang 1 tahun.
Dalam ketetapan pertama, beberapa langkah kenal pasti antaranya penggunaan teknologi untuk membuang pencemaran dan menyah bau di LRA, menyekat air tercemar daripada memasuki LRA, dan menyedut air tidak tercemar ke takungan untuk disalurkan kepada pengguna.
“Tapi ia perlukan pengepaman dan paip-paip, ini perkara sedang teliti,” katanya, dan menambah ia boleh menelan kos puluhan juta ringgit.
Ketetapan kedua pula ialah penambahan pegawai bagi meningkatkan kekerapan lawatan ke kawasan sungai, bagi tujuan pemantauan 24 jam.
Beliau percaya ini akan membantu usaha pengesanan awal di kawasan-kawasan “hot spot”.
Ketetapan ketiga pula menggunakan dron bagi mengawal kawasan sungai dan termasuk premis yang menyebabkan pencemaran.
“Dron juga mampu cerap kuantiti dan kualiti air di sungai dan kos bayaran penggunaan drone itu sekitar RM138 sehari dan akan bergerak 2 kali sehari sejauh 1,000 kilometer untuk berikan penilaian analisis kandungan air,” katanya.
Sementara itu, Amirudin memaklumkan imbuhan RM1,000 kepada pemberi maklumat pencemaran sungai.