Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan, berkata sekurang-kurangnya anak muda Kelantan tidak boleh mencari hiburan tidak bermoral dalam negeri itu.
PETALING JAYA: Kerajaan Kelantan mengakui tidak boleh menyekat rakyatnya mengunjungi kelab malam di Thailand, kata Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan.
Namun, katanya kerajaan negeri lega kerana Kelantan bebas pusat hiburan berunsur negatif seperti itu.
Katanya, sekurang-kurangnya mereka tidak boleh mencari hiburan tidak bermoral dalam negeri itu.
“Di mana-mana sahaja akan ada orang yang mencari perkara tidak elok, namun sekurang-kurangnya mereka tidak boleh mencari hiburan berunsur negatif dan tidak bermoral di dalam negeri ini.
“Kita amat sedih dengan realiti yang didedahkan oleh Ketua Polis Kelantan (Mohd Yusoff Mamat), tetapi sekurang-kurangnya benda itu (kelab malam) tiada di Kelantan,” katanya menurut Utusan Malaysia di Kota Bharu.
Adun Temangan itu berkata: “Orang yang mencari benda tidak baik ada di mana-mana termasuk juga di Kelantan.”
Semalam, Yusoff mendedahkan ramai penduduk Kelantan termasuk anak muda berusia belasan tahun sanggup mengambil risiko merentas sempadan dan menggunakan laluan tidak sah bagi memasuki Thailand semata-mata untuk berhibur pada hujung minggu.
Katanya, kebanyakan akan ke Thailand pada petang Khamis sebelum pulang semula ke Kelantan pada Sabtu.
Beliau berkata, anak muda Kelantan ramai ke kelab malam negara jiran sehingga terpaksa menunggu syif untuk masuk, seperti dimaklumkan pihak berkuasa negara jiran kepadanya.
Source link