Loh Guet Ching memfailkan tuntutan dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan untuk dikembalikan ke platform Grab di bawah MyTeksi Sdn Bhd.
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak rayuan seorang bekas pemandu Grab bagi mengetepikan penghakiman Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Kementerian Sumber Manusia menolak pendengaran kes wanita itu di Mahkamah Perusahaan.
Permohonan Loh Guet Ching, 45, ditolak panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, Hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan dan Rhodzariah Bujang.
“Kami dapati persoalan (soalan undang-undang) yang dirumuskan tidak memenuhi Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” kata Tengku Maimun melalui prosiding Zoom dan menambah tiada perintah berhubung kos.
Ketika prosiding itu, peguam Ng Kian Nam yang mewakili Loh meminta mahkamah mengesahkan enam persoalan undang-undang atas alasan ia berkaitan sama ada pemandu e-panggilan dan pekerja ekonomi gig patut memfailkan pertikaian penyingkiran mereka secara tidak adil di Mahkamah Perusahaan atau Mahkamah Sivil.
Peguam Kanan Persekutuan, Nik Mohd Noor Nik Kar yang mewakili menteri sumber manusia dan ketua pengarah Jabatan Perhubungan Perindustrian serta peguam T Thavalingam mewakili MyTeksi Sdn Bhd membantah soalan dinyatakan Loh bukan sesuatu yang baharu.
Untuk mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan, perayu perlu menunjukkan permohonan itu mempunyai persoalan perundangan atau Perlembagaan baharu, kepentingan awam yang belum ditangani dan memerlukan penghujahan lanjut.
Loh memfailkan tuntutan dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan agar dikembalikan ke platform Grab di bawah MyTeksi Sdn Bhd yang ditolak menteri sumber manusia atas budi bicaranya.
Beliau kemudiannya memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur.
Pada 9 Julai 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ahmad Kamal Shahid menolak permohonan Loh bagi semakan kehakiman, sebelum Mahkamah Rayuan membuat keputusan sama pada 27 Nov 2023.
Mahkamah Rayuan memutuskan pemandu Grab tidak termasuk dalam kategori “pekerja” seperti ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Perhubungan Perusahaan 1967, jadi tidak boleh difailkan representasi untuk pemecatan tidak adil di Mahkamah Perusahaan.
Pada awal 2019, Loh melaporkan Grab kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan berhubung penyingkirannya daripada platform itu secara tidak adil berikutan pertikaiannya dengan seorang penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor pada November 2018.
Source link