PETALING JAYA: Platform pembaharuan insurans secara dalam talian, BJAK Sdn Bhd (BJAK) giat bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mencari situasi menang-menang bagi ‘menguntungkan pengguna’.
Menerusi kenyataan, BJAK berkata penawaran pembaharuan cukai jalan itu hanya ‘servis pilihan’ untuk pelanggannya, namun perkhidmatan utama masih adalah perbandingan dan pembaharuan insurans kereta.
“Walaupun platform lain biasanya mengenakan bayaran antara RM3.00 hingga RM11.00 untuk servis pembaharuan, namun BJAK kini ditawarkan kepada pelanggan secara percuma.
“Ini sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menjadikan pembaharuan lebih mudah dan menjimatkan kos untuk pelanggannya. Ia sebelum ini telah meluluskan sebarang caj kepada pembekal rasmi JPJ,” katanya.
Terdahulu, JPJ berkata pihaknya mahupun Kementerian Pengangkutan tidak pernah memberi kelulusan kepada BJAK untuk menyediakan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan kepada orang ramai.
Dalam kenyataan, JPJ menjelaskan iklan dikeluarkan syarikat itu di media sosial dan laman sesawangnya juga adalah tidak benar dan mengelirukan.
JPJ juga memaklumkan ia menerima beberapa aduan daripada orang ramai apabila pembaharuan cukai dilakukan, namun tempoh sah lakunya tidak dikemas kini.
Justeru, JPJ menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan platform menawarkan perkhidmatan memperbaharui cukai jalan yang tidak sah bagi mengelakkan penipuan, serta boleh menyalurkan aduan rasmi kepada JPJ menerusi portal rasminya di https://jpj.spab.gov.my/.