SYARIKAT pemula pengitar sisa elektronik (e-waste), ERTH berjaya memenangi Piala Dunia Keusahawanan (EWC) Malaysia peringkat akhir, sekali gus mewakili negara ke pertandingan sama di peringkat antarabangsa yang akan diadakan di Riyadh, Arab Saudi, Oktober ini.
Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan ERTH, Mohamed Tarek berkata, dia membuka syarikat pemula di negara ini berikutan reputasi Malaysia yang mesra perniagaan.
Menurutnya, ekosistem syarikat pemula yang kondusif di Malaysia juga antara sebab beliau yang berasal dari Finland memilih negara ini.
“Sebenarnya, 50 peratus sisa elektronik dunia datang dari Asia dan rantau ini adalah negara yang paling mesra perniagaan di peringkat antarabangsa untuk kami memulakan perniagaan ini.
“Hasil tinjauan dan selepas membuat kajian, kami memilih Malaysia kerana ia juga mempunyai pasaran tempatan yang agak baik untuk sisa elektronik,” katanya yang akan melakukan yang terbaik untuk memenangi pertandingan itu, sekali gus mengharumkan nama Malaysia.
ERTH berjaya menewaskan sembilan syarikat pemula lain dalam pertandingan anjuran Global Entrepreneurship Network (GEN) yang kini memasuki tahun kedua penganjurannya.
Selain piala, ERTH sekali pemenang kebangsaan menerima hadiah iaitu perjalanan yang dibiayai sepenuhnya untuk bersaing ke peringkat global di Riyadh, Bootcamp di Universiti Sains dan Teknologi King Abdullah (KAUST), Arab Saudi dan peluang memenangi hadiah wang tunai AS$1 juta (kira-kira RM4.25 juta) dan hadiah dalam bentuk sokongan sebanyak AS$75 juta (kira-kira RM319 juta).
Hadiah disampaikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Sementara itu, Penasihat GEN Malaysia, Datuk Mohd Azizan Che Omar berkata, sebanyak 189 permohonan terdiri daripada peringkat idea, awal dan pertubuhan diterima pada tahun ini dan selepas melalui proses saringan, hanya 10 syarikat dipilih untuk bertanding.
“EWC ini membuka peluang kepada syarikat pemula dan usahawan untuk mengetengahkan idea dan produk mereka di peringkat kebangsaan, sekali gus mewakili negara ke peringkat antarabangsa.
“Pertandingan ini adalah inisiatif diwujudkan GEN yang menyediakan platform secara konsisten kepada usahawan tempatan untuk dihubungkan dengan rangkaian global,” katanya.