Kuala Lumpur: Malaysia Airlines Bhd (MAB) memperkenalkan dasar perubahan ke atas tiket penerbangan yang paling fleksibel.
Dasar ini menawarkan pengubahsuaian tanpa had secara percuma ke atas tempahan terbaru dan sedia ada berkuat kuasa serta-merta susulan kesan penularan Covid-19.
Syarikat penerbangan nasional itu berkata, semua pelanggan penerbangan ini boleh memanfaatkan perubahan tanpa had bagi tarikh penerbangan mereka dengan pengecualian bayaran perubahan tarikh.
Menurutnya, mereka juga boleh mengubah suai destinasi penerbangan dan sebarang perbezaan tambang akan dikenakan.
“Dasar ini dikenakan ke atas tiket penerbangan yang dikeluarkan pada dan sebelum 31 Mac selain tempahan semula perlu dibuat pada atau sebelum 31 Mei 2020.
“Sementara itu, perjalanan balik bagi tempahan semula itu perlu dibuat sebelum atau pada 31 Disember 2020,” katanya.
MAB berkata, tempahan semula perlu dibuat di Pejabat Jualan Tiket Malaysia Airlines atau menerusi Pusat Hubungan Global Malaysia Airlines di talian 1-300-88-3000 (di Malaysia) atau +603-7843 3000 (di luar Malaysia) selain melalui ejen yang dilantik oleh Malaysia Airlines.
Selain itu, penumpang boleh melakukan penerbangan awal pada hari yang sama untuk penerbangan 13 Mac dengan 21 Mei, 2020, tertakluk kepada kebolehsediaan.