KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah terus meningkat, manakala di Sarawak mencatatkan penurunan setakat 8 malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah memaklumkan jumlah mangsa meningkat kepada 1,034 orang daripada 322 keluarga berbanding 989 orang daripada 308 keluarga pada 4 petang tadi.
Seramai 538 orang daripada 177 keluarga ditempatkan di dua PPS daerah Beaufort, 275 orang (71 keluarga) di dua PPS daerah Kinabatangan, manakala mangsa banjir di Membakut meningkat kepada 221 orang (74 keluarga) di sebuah PPS.
“Trend pemindahan mangsa banjir di Beaufort dan Kinabatangan kekal, manakala di Membakut pula meningkat,” menurut kenyataan itu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak memaklumkan jumlah mangsa berkurangan kepada 1,570 orang berbanding 1,877 orang petang tadi, dengan 14 PPS masih beroperasi.
Kenyataan itu memaklumkan 613 mangsa berlindung di empat PPS Bintulu, 603 orang ditempatkan di empat PPS Mukah dan 33 orang di dua PPS Sibu, manakala Miri kekal 321 orang di empat PPS.