Keindahan seni bina Masjid Jamek Cina Muslim Klang menarik ramai pengunjung yang menjadikannya tarikan baharu di Klang.
KLANG: Masjid Jamek Cina Muslim Klang terletak di Bandar Botanik di sini menjadi simbol baharu keharmonian budaya dan agama di Selangor.
Rumah ibadat itu dibangunkan selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan kos sekitar RM19.3 juta dibiayai kerajaan negeri, Persatuan Cina Muslim Malaysia dan sumbangan orang ramai.
Keindahan seni bina seperti kubah unik selain dilengkapi dewan solat berbumbung jubin tradisional Cina manakala kaligrafi Cina menghiasi ruang mihrab, masjid itu juga kini menjadi lokasi pelancongan baharu di Klang.
Pengurusnya Ahmad Mujahid Muhammad Zan berkata inspirasi reka bentuk masjid itu diambil dari seni bina Masjid Besar Xi’an di China, antara rumah ibadat tertua dan terbesar dibina lebih 1,200 tahun dahulu.
Ahmad Mujahid Muhammad Zan.
Menurutnya, kelainan itu ditampilkan untuk memaparkan keharmonian serta menyampaikan mesej bahawa memeluk Islam tidak bermakna perlu meninggalkan budaya asal.
“Islam itu universal, masuk Islam tidak bermakna menjadi Melayu sehingga lupa budaya asal.
“Ini antara perspektif kita mahu ubah dalam membina masjid ini” katanya kepada FMT yang turut menjelaskan aspek perpaduan juga dititikberatkan selaras ajaran Islam bersifat sejagat serta harmoni.
“Ini memberi pandangan bahawa Islam bukan hanya untuk satu kaum, tetapi untuk semua.”
Masjid Jamek Cina Muslim Klang yang mampu memuatkan 1,000 jemaah itu mula digunakan pada 22 Ogos lalu untuk solat lima waktu dan Jumaat.
Perpustakaan, bilik kuliah dan kedai menjual cenderamata antara kemudahan disediakan pengurusan untuk orang ramai, selain restoran pada masa depan.
Tarikan baharu di Klang
Selepas dibuka kepada orang ramai, Masjid Jamek Cina Muslim Klang bukan hanya menarik pengunjung tempatan tetapi dari luar negara yang mahu melihat sendiri tarikan baharu pelancongan di Klang itu.
Shu Fei.
Seorang suri rumah hanya mahu dikenali Shu Fei, 42, berkata dia teruja apabila menjejakkan kaki ke masjid itu yang hampir sama Masjid Besar Xi’an di China, selain dapat membaca al-Quran mempunyai terjemahan mandarin disediakan.
“Reka bentuk dan dekorasi memang sama seperti di China, saya rasa seakan berada sana…tempat ini memang sesuai untuk bawa keluarga bagi mempelajari budaya lain bagi meningkatkan kefahaman,” katanya.
Qalfa.
Bagi pelancong dari Perancis dikenali Qalfa, 35, berkata dia berkunjung ke masjid itu selepas melihat video oleh seorang pempengaruh dari China yang menceritakan keindahan rumah ibadat terbabit.
“Melihat kecantikan seni bina membuat saya dan suami teruja untuk melihatnya sendiri,” katanya.
Source link
Next Post