LOS ANGELES: Gunung berapi aktif terbesar di dunia, Mauna Loa di Hawaii, Amerika Syarikat, meletus buat kali pertama dalam tempoh hampir 40 tahun, kata pihak berkuasa.
Letusan bermula pada 11.30 malam waktu tempatan Ahad, menurut Perkhidmatan Taman Negara AS. Ia adalah letusan pertama sejak 1984, lapor Xinhua.
Menurut Balai Cerap Gunung Berapi Hawaii, aliran lava terhad di kawasan puncak dan tidak mengancam penduduk yang mendiami kawasan lereng gunung.
Penduduk yang berisiko terancam oleh letusan gunung berapi itu dinasihatkan bersiap sedia, selain sentiasa merujuk kepada maklumat Pertahanan Awam Daerah Hawaii untuk panduan lanjut, kata Tinjauan Geologi AS.
“Berdasarkan kejadian lepas, peringkat awal letusan Mauna Loa boleh menjadi sangat dinamik dan lokasi serta aliran lava boleh berubah dengan cepat,” menurut amaran agensi itu.