MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia memperkenalkan aplikasi telefon pintar dikenali sebagai Mitsubishi Connect.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tomoyuki Shinnishi berkata, pandemik Covid-19 banyak mengubah perniagaan dan pihaknya turut mengambil kesempatan untuk melaksanakan transformasi digital.
“Aplikasi ini disediakan untuk semua pengguna kenderaan Mitsubishi di Malaysia yang sesuai dengan normal baharu.
“Semua maklumat hanya di hujung jari yang boleh diperolehi walau di mana mereka berada,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, aplikasi itu boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan Apple App Store secara percuma bagi perkhidmatan digital berkaitan kenderaan seperti temu janji jadual servis, maklumat sejarah penyelenggaraan dan peringatan untuk servis seterusnya.
Aplikasi itu juga membolehkan pengguna kekal terhubung dengan talian bantuan Mitsubishi Assist 24 jam di seluruh negara serta perkhidmatan kecemasan jika memerlukan dengan fungsi ‘SOS’ yang akan mengesan lokasi terkini.
Selain itu Mitsubishi Connect juga menyediakan maklumat lokasi terdekat pusat jualan dan servis serta disediakan navigasi untuk kemudahan carian pengguna.
Antara lain yang turut ditawarkan dalam aplikasi itu ialah promosi terkini Mitsubishi selain maklumat berkaitan produk dengan memuat turun e-risalah.