Hamzah Zainudin berkata jika sesuatu dasar dibuat kerajaan adalah baik sudah tentu akan disokong pembangkang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Draf memorandum persefahaman (MoU) peruntukan pembangkang mesti adil dan bukan dibuat secara paksaan, kata Hamzah Zainudin.
Ketua pembangkang berkata, pihaknya menolak MoU itu kerana ia seolah-olah menekan untuk mengikut segala kehendak kerajaan.
“Kedua-dua pihak mesti ada keadilan. Jangan dianggap MoU ini seperti yang boleh diikat tangan kepada sesiapa.
“Apabila kita membaca MoU tersebut, kita merasakan seolah-olah kita ini ditekan supaya kalau nak peruntukan mesti mengikuti segala apa yang dimahukan kerajaan. Tak adil,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.
Pada 15 Sept lalu, PN memutuskan menolak draf itu dengan mendakwa syaratnya bertentangan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa, serta mengongkong kebebasan.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof yang mengetuai kerajaan dalam rundingan itu berkongsi dokumen terbabit supaya rakyat sendiri dapat menilai dakwaan pembangkang.
Sementara itu, Hamzah berkata beliau tidak menolak jika Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengajaknya berbincang mengenai MoU tersebut.
“Kalau sebut dengan saya apa salah duduk bincang kalau dalam (MoU itu ada) benda tak elok. Saya ini tengok orang lemah lembut, saya lagi lembut. Ini sepatutnya kita lakukan bersama,” katanya.
Ahli Parlimen Larut berkata, pembangkang menyuarakan pandangan kerana mahu menjadi semak dan imbang kepada kerajaan.
Katanya, jika sesuatu dasar dibuat kerajaan adalah baik sudah tentu akan disokong pembangkang.
“Contohnya pindaan Perlembagaan mengenai kewarganegaraan, jika baik sudah tentu kami sokong. Kita mahukan sebuah negara menuju ke arah sesuatu yang boleh dibanggakan,” katanya.
Source link