PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kecewa dengan keputusan kerajaan tidak melanjutkan tempoh moratorium pembayaran balik pinjaman bank yang akan tamat pada 30 Sept ini, ketika rakyat masih bergelut dengan tekanan kesan penularan wabak Covid-19.
Setiausaha agungnya yang baru, Kamarul Baharin Mansor berkata, majoriti peminjam mahu kerajaan meneruskan pakej bantuan itu sekurang-kurangnya untuk 3 bulan lagi, sehingga tamat perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) pada Disember ini.
“Namun, pengumuman pada Rabu lalu sangat mengecewakan kira-kira 8 juta peminjam yang majoritinya sangat berharap moratorium disambung,” katanya kepada FMT.
Kamarul berkata, jika sebelum ini rakyat, terutama penduduk miskin bandar bebas melakukan 2 atau 3 kerja sehari untuk menampung kos kehidupan, namun dengan penularan wabak Covid-19, pergerakan mereka sangat terbatas.
“Sebelum ini kita boleh buat 2,3 kerja, tetapi keadaan sekarang tak macam dulu. Pergerakan sangat terhad kerana kita berdepan musuh yang tidak kelihatan,” katanya.

Justeru, dengan tempoh berbaki yang ada, beliau berharap dengan kuasa yang ada di tangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selaku ketua kerajaan, beliau akan mengumumkan berita yang amat dinanti-nanti oleh semua.
Katanya, langkah kerajaan membiarkan peminjam berunding dengan pihak bank mewujudkan pelbagai kerenah birokrasi kerana perlu melalui proses yang panjang dan memakan masa lama.
“Jika kerajaan yang umumkan perkara itu (lanjutkan moratorium), ia akan memudahkan semua pihak kerana pakej bantuan ini akan dilaksanakan secara automatik,” katanya dengan menambah ketika krisis kesihatan inilah masa yang tepat bagi bank membantu rakyat dan kerajaan dalam meneruskan kelangsungan ekonomi negara.
Sementara itu, bagi kakitangan swasta yang diberhentikan kerja sejak Mac lalu, Aizat Shamsuddin, 33 berkata, beliau sudahpun membuat permohonan lanjutan moratorium bersasar bagi pinjaman rumahnya pada Ogos lalu, namun sehingga kini masih tiada jawapan daripada pihak bank.
“Hanya beberapa hari lagi tempoh moratorium akan tamat, tetapi bank masih tidak memberi sebarang maklum balas mengenai rayuan saya.
“Bila saya hubungi bank, mereka kata tunggu panggilan. Saya jadi tertanya-tanya adakah rayuan saya diterima atau sebaliknya,” katanya kepada FMT.
Pada Rabu lalu, ketika mengumumkan inisiatif dan bantuan khusus menerusi pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin berjumlah RM10 bilion, Muhyiddin berkata, 98% permohonan untuk lanjutan moratorium dan bantuan bank secara bersasar sudah diluluskan, dengan lebih 1.4 juta peminjam mengesahkan mereka memerlukan bantuan tersebut.
Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, pengumuman perdana menteri tidak menyambung moratorium dan hanya meminta peminjam terus berhubung dengan bank untuk lanjutan moratorium bersasar sangat mengecewakan rakyat.