MY EG Services Bhd (MyEG) sedia untuk menawarkan kit ujian pantas Covid-19 yang sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan.
Syarikat itu berkata, kit berkenaan telah memenuhi keperluan pengawalseliaan di Amerika Syarikat (AS) sekali gu
s dibenarkan bagi penjualan di sana.
“Kit itu dibangunkan oleh syarikat bioperubatan China terkemuka dan layak bagi kebenaran untuk kegunaan kecemasan yang diberikan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubatan AS (USFDA) mengikut dasar mempercepat pengesanan dan diagnosis ketika kecemasan kesihatan awam.
“Pemberian kebenaran oleh USFDA bagi kit ujian itu adalah tambahan kepada tanda European CE yang mengesahkan kesesuaian dengan piawaian perlindungan kesihatan, keselamatan dan persekitaran, yang diperoleh lebih awal.
“Kit ujian pantas itu sedang menunggu kelulusan dan pensijilan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
MyEG berkata, penerimaan kit ujian itu di seluruh dunia, termasuk rantau utama seperti AS dan Eropah, adalah tepat pada masanya ketika dunia semakin mengakui perlunya kapasiti pengesanan yang lebih pantas dan luas dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.
Kit ujian itu membolehkan pengesanan awal Covid-19 melalui penggunaan sampel darah yang diperolehi daripada cucukan pada jari, khususnya dengan mengesan kehadiran antibodi.
Keputusan ujian dihasilkan di lapangan dalam beberapa minit, tanpa perlu penghantaran sampel kepada makmal diagnostik luar yang mengambil masa lebih panjang.
MyEG yakin kit itu adalah pilihan yang senang didapati dan ditawarkan pada harga berpatutan untuk meningkatkan pengujian dan pengesanan awal dalam kalangan rakyat Malaysia memandangkan ia mudah digunakan.
Ia sekali gus dapat menambah baik kapasiti pengujian dalam negara dan mengurangkan kekangan yang dihadapi di kemudahan kesihatan awam sedia ada.