Bekas perdana menteri Najib Razak dibicarakan atas 25 tuduhan ubah wang haram dan salah guna kuasa berhubung dana 1MDB dalam akaun bank AmBank miliknya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Perbicaraan 1MDB Najib Razak di Mahkamah Tinggi terpaksa dipendekkan hari ini selepas bekas perdana menteri itu tidak sihat.
Selepas sidang rehat sebentar, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah Najib mengadu kepada doktor pengiring penjara Dr Hafiz Hozni, mengenai kesihatannya.
Hakim kemudian memanggil Hafiz dan meminta beliau memberikan penjelasan.
Doktor itu berkata, ketika rehat, Najib, 70, mengadu mengalami cirit-birit dan terpaksa pergi ke tandas sebanyak tiga kali.
“Saya memeriksa beliau dan memberi ubat. Beliau mengalami kekurangan air dan keletihan,” katanya kepada hakim.
Katanya, Najib tidak sihat untuk meneruskan perbicaraan kerana ubat yang diberikan menyebabkannya berasa mengantuk.
Hafiz juga mencadangkan Najib dikecualikan daripada menghadiri perbicaraan esok, bagi memberi masa untuknya sembuh.
Bagaimanapun, Sequerah menolak cadangan itu dan berkata perbicaraan mesti diteruskan.
“Saya hanya membenarkan perbicaraan dipendekkan hari ini. Beliau perlu berada di mahkamah esok,” katanya.
Sequerah juga mengarahkan pendakwaan bersedia dengan saksi seterusnya jika bekas peguam 1MDB Jasmine Loo selesai memberi keterangan esok.
Najib dibicarakan atas 25 tuduhan ubah wang haram dan salah guna kuasa berhubung dana 1MDB dalam akaun bank AmBank miliknya.
TAGS:
Source link