Kuala Lumpur: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang bermula 2021 hingga 2025 akan memfokus dalam mengenal pasti sektor ekonomi baharu bagi memacu ekonomi pada masa depan dan mewujudkan peluang ekonomi untuk rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, fokusnya adalah mempercepat pengembangan industri berpotensi tinggi antaranya, aeroangkasa, elektrik dan elektronik (E&E), halal, industri kreatif, biomas dan pertanian pintar.
Katanya, industri terbabit dikenal pasti berdasarkan prospek bidang itu dalam menghasilkan aktiviti dan produk bernilai tambah tinggi, penggunaan teknologi canggih, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan inovasi, pekerjaan berkemahiran tinggi serta sumbangan dalam mencapai agenda hijau.
“Tumpuan akan diberikan dalam menarik pelaburan berkualiti yang menggalakkan pembangunan produk dan perkhidmatan yang kompleks, mewujudkan pekerjaan berkemahiran dan bergaji tinggi, menggalakkan penggunaan input domestik yang lebih tinggi dan meningkatkan pembangunan di kawasan yang kurang diberi tumpuan.
“Kejayaan pelaksanaan langkah ini semua akan meningkatkan daya saing dan daya tahan ekonomi serta meletakkan Malaysia sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan global, untuk produk dan perkhidmatan bernilai tambah yang kompleks dan tinggi,” katanya dalam ucap tama sempena forum RMKe-12 anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia yang dianjur secara maya, semalam.
Menurutnya, RMKe-12 adalah dokumen penting yang akan menjadi asas kepada negara untuk kembali pulih daripada pandemik Covid-19.
Mustapa berkata, dokumen itu akan mencartakan laluan negara kepada ekonomi mampan namun pada masa sama memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara dengan mengambil kira dalam konteks kemakmuran bersama.
Beliau berkata, kerajaan akan memberi penekanan terhadap isu ekonomi dan pembaharuan institusi, sementara memastikan agenda kemampanan menjadi lebih jelas dalam pelan pembangunan nasional ini.
“Kita perlu meningkatkan rantaian nilai, mengguna pakai teknologi dan inovasi untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, membangunkan masyarakat yang inklusif untuk menjamin keadilan sosial dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, meningkatkan kelestarian alam sekitar, dengan melaksanakan agenda pembangunan yang bersih, hijau dan berdaya tahan serta meningkatkan kecekapan sistem penyampaian agar lebih berpusatkan orang, cekap dan produktif.
“Walaupun tanpa pandemik ini, kita menghadapi sejumlah masalah struktur dan negara memerlukan idea berani dan radikal bagi menangani isu tertunggak yang lama seperti aktiviti ekonomi bernilai tambah yang rendah, pengagihan pendapatan yang tidak setara dan jurang perbezaan kawasan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, salah satu cabaran utama yang dihadapi ekonomi adalah munculnya kumpulan miskin baharu seperti dilaporkan Bank Dunia iaitu untuk memasukkan mereka yang tinggal di kawasan bandar yang sesak dan bekerja di sektor paling terjejas oleh penutupan dan sekatan mobiliti, di mana banyak daripada mereka terbabit dalam sektor tidak rasmi.
“Ia termasuk pekerja di sektor pembuatan, perkhidmatan dan perdagangan, sektor bukan pertanian lain, kumpulan yang berpendidikan lebih baik berbanding golongan miskin yang ada, tetapi tidak berpendidikan.
“Oleh itu, perancangan pembangunan jangka panjang harus mempertimbangkan, kumpulan isi rumah yang lebih besar, untuk dianggap sebagai kumpulan yang rentan.
“Di samping itu, semakan pendapatan garis kemiskinan baru-baru ini dari RM980 menjadi RM2,208 telah menambah cabaran untuk meringankan kehidupan rakyat,” katanya.