Ini adalah antara kereta unik yang boleh anda lihat di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024. Dipanggil sebagai Nissan Hyper Tourer Concept, ia sebelum ini pernah ditunjukkan di Japan Mobility Show 2023, tetapi sehingga kini masih lagi nampak luar biasa.
Ia dihasilkan untuk memberi petunjuk kepada pengganti Elgrand di masa hadapan, dengan penggerak yang menggunakan elektrik penuh. Antara ciri rekaan yang menonjol pada kenderaan ini adalah termasuk muka hadapan dengan motif petak-petak, rim corak kumiko, spoiler besar di belakang serta pintu lungsur hadapan dan belakang tanpa bingkai.
Di dalam anda boleh lihat terdapat empat tempat duduk yang dibuat menghadap satu sama lain (memberi petunjuk kepada teknologi pemanduan autonomous), serta panel LED leper di lantai yang diberitahu oleh Nissan boleh “memaparkan imej sungai dan langit, membantu mencipta ruang menenangkan yang menghubungkan digital dengan alam semula jadi.”
Turut dipasang pada kenderaan ini adalah sistem V2X (kenderaan-kepada-semua benda) dan AI, yang boleh memerhati tanda biometrik termasuk gelombang minda, degupan jantung, pernafasan dan keringat, seterusnya melaras muzik serta keadaan sekeliling secara automatik.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.