SISTEM telefon perniagaan jarak jauh Digi, Omni Hotline kini menawarkan penambahan rangkaian nombor talian tetap awalan 06 dan 09.
Perniagaan yang mendaftar untuk Omni Hotline kini dapat memilih dari rangkaian nombor talian tetap awalan yang ada iaitu 03, 04, 05, 07, 085 atau 088.
Dengan penambahan awalan nombor 06 dan 09 terbaharu, pelanggan Omni Hotline kini mempunyai pilihan untuk memilih mana-mana nombor yang ada di setiap negeri di Malaysia.
Digi dalam satu kenyataan berkata, penambahan nombor talian tetap 06 dan 09 yang baharu memberi kemudahan kepada pengguna untuk mengembangkan perniagaan mereka di negeri tertentu di seluruh Malaysia.
“Memilih nombor telefon awalan tempatan dapat memberi kepercayaan kepada pelanggan terhadap perniagaan yang dijalankan.
“Mereka yang tinggal di kawasan yang sama dengan nombor telefon perniagaan akan mempunyai rasa lebih dekat dengan perniagaan terbabit,” katanya.
Selain itu, jika perniagaan mempunyai banyak pejabat di negeri yang berlainan, Omni Hotline dapat membantu menggabungkan semua nombor dari pejabat yang berbeza menjadi satu untuk pengurusan akaun yang lebih baik.
Omni Hotline pertama kali diperkenalkan untuk memudahkan syarikat ke arah digitalisasi dan membantu syarikat dalam memperkemaskan operasi mereka, baik untuk melayani pelanggan atau menguruskan panggilan.