PETALING JAYA: Pengurusan tertinggi pengendali pengangkutan awam Prasarana Malaysia harus berundur berikutan gangguan perkhidmatan LRT berterusan sehingga akhir tahun depan, kata perunding pengangkutan, Rosli Azad Khan.
Beliau berkata, sejumlah besar dana awam telah disalurkan kepada Prasarana, namun perkhidmatan rel ringan itu terus mengalami kerosakan dan kegagalan sistem.
“Adakah pengurusan tertinggi tidak mengambil sebarang tanggungjawab atas kegagalan ini? Mengikut konvensyen, pengerusi dan lembaga pengarahnya sepatutnya meletakkan jawatan sekarang,” katanya kepada FMT.
Rosli berkata, adalah wajar untuk meletakkan kesalahan kepada bekas menteri pengangkutan, Wee Ka Siong dan bekas menteri kewangan, Tengku Zafrul Aziz.
Prasarana ialah sebuah syarikat milik kerajaan yang ditubuhkan pada 1998 untuk memacu transformasi sistem dan perkhidmatan pengangkutan awam. Syarikat itu juga memiliki perkhidmatan rel ringan di Lembah Klang serta perkhidmatan bas Rapid di bandar utama lain.
Rosli juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat proses perolehan Prasarana untuk mengetahui mengapa syarikat yang sama terus mendapat kontrak penyelenggaraan, tetapi tidak mampu melaksanakan tugasnya.
“Isu perolehan LRT mungkin hanya sebahagian kecil daripada bongkah ais kerajaan lalu,” sindirnya.
Khamis lalu, menteri pengangkutan yang baharu dilantik, Loke Siew Fook, berkata laluan LRT Kelana Jaya beroperasi pada kekerapan setiap lima minit walaupun pada waktu puncak.
Selang waktu akan dikurangkan kepada tiga minit sebaik kerja penyelenggaraan pada 18 daripada 56 set tren LRT yang beroperasi di laluan itu siap menjelang Jun.
Awal tahun ini, menteri pengangkutan ketika itu, Wee berkata, kementerian itu menyasar mengurangkan selang masa kepada tiga minit menjelang November 2022.
Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Ajit Johl, berkata kelewatan itu tidak mengejutkan memandangkan tren itu tidak kerap digunakan semasa pandemik Covid-19, justeru masalah penyelenggaraan sudah dijangka.
Bagaimanapun, beliau menggesa Prasarana membentangkan pelan mitigasi bagi memastikan sekurang-kurangnya 60% hingga 80% perkhidmatannya masih boleh digunakan, selain mencari alternatif seperti menambah baik laluan perkhidmatan bas atau meningkatkan kekerapan perkhidmatan bas.
Bekas pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Wan Agyl Wan Hassan, berkata Prasarana perlu memperluaskan pemberian kadar diskaun kepada penumpang “early bird” sebelum dan selepas waktu puncak.
“Tetapkan tambang yang lebih rendah atau percuma daripada 6 pagi hingga 7 pagi, 9 pagi hingga 10 pagi, dengan syarat perbezaannya tidak terlalu besar,” katanya di Twitter, sambil menambah ini boleh membantu mengurangkan kesesakan pengguna pada waktu puncak antara 7 pagi hingga 8 pagi.
Kerajaan juga boleh menawarkan insentif cukai kepada syarikat yang membenarkan jadual kerja fleksibel supaya pekerja boleh berulang-alik dengan pengangkutan awam dan masuk ke tempat kerja pada masa berbeza.