Kuala Lumpur: Paras mudah tunai bank-bank kekal kukuh dalam separuh pertama 2020 meskipun penangguhan hampir 90 peratus daripada pembayaran balik pinjaman runcit di bawah moratorium penangguhan pinjaman automatik, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat berkata, ia disokong oleh penampan awal kukuh bank-bank serta pertumbuhan deposit tinggi daripada pegangan tunai dalam kalangan pendeposit individu.
Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan, berikutan pengurangan dalam Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 100 mata asas (bps) pada Mac dan tambahan fleksibiliti SRR yang mengeluarkan lebih banyak mudah tunai ke dalam sistem perbankan, bank-bank kurang memerlukan pembiayaan antara bank dan tidak menggunakan fleksibiliti yang diberikan kepada bank-bank untuk beroperasi di bawah minimum Nisbah Liputan Mudah Tunai (LCR) pada 100 peratus.
Bank pusat dalam laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan – Separuh Pertama 2020 yang dikeluarkan hari ini berkata, LCR sistem perbankan kekal sekitar 140 peratus atau lebih tinggi berbanding 149.1 peratus pada Disember 2019.
“Keadaan pembiayaan dalam sistem perbankan juga kekal dengan nisbah pinjaman-kepada-dana berada pada 82.0 peratus berbanding 83.2 peratus pada Disember 2019. Semua bank berkedudukan baik memenuhi minimum keperluan Nisbah Pembiayaan Stabil Bersih pada 80 peratus, yang berkuat kuasa pada Julai 2020,” kata bank pusat.
Menurut laporan itu, semua bank kekal mempunyai modal yang baik sepanjang separuh pertama 2020, dengan penampan modal agregat berjumlah RM121.6 bilion pada Jun 2020, dengan jangkaan prospek ekonomi yang lebih mencabar.
“Bank-bank meningkatkan penampan mereka, sama ada menerusi terbitan modal baharu atau pelan pelaburan semula dividen. Kebanyakan bank juga mengurangkan atau menangguhkan pembayaran dividen kepada pemegang saham,” kata laporan itu.
Mengenai pendedahan hutang luaran bank-bank, BNM berkata ia terus terkawal memandangkan pergantungan rendah mereka kepada pembiayaan luaran yang masih kekal stabil di bawah 10 peratus daripada jumlah pembiayaan selama bertahun-tahun ini.
“Kebanyakan peningkatan hutang luaran bank-bank sebanyak RM22.9 bilion pada separuh pertama 2020 adalah disebabkan peningkatan pinjaman antara kumpulan oleh bank-bank asing di Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan.
“Lebih 60 peratus daripada pendedahan luaran bank-bank adalah dalam bentuk tawaran saham antara kumpulan dan sekuriti hutang jangka panjang, yang kurang terdedah kepada pengeluaran mengejut atau risiko peralihan,” kata bank pusat.
Menurut laporan itu, bank-bank juga mencatatkan penurunan pendapatan daripada aktiviti perbankan domestik semasa tempoh separuh pertama 2020 disebabkan oleh kekangan margin dan peruntukan tinggi bagi kerugian kredit.