Usul dibezakan logo halal dari PAS Parit itu membolehkan umat Islam tidak lagi berterusan dalam dilema dan keraguan berhubung status halal makanan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: PAS mengusulkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perkenal logo halal yang dapat membezakan produk makanan buatan syarikat Islam dan bukan Islam.
Ia satu daripada lima usul diterima tanpa dibahaskan pada Muktamar Tahunan PAS ke-70, diumumkan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari.
Menurut PAS Parit yang mengemukakan usul itu, pengenalan logo halal seperti itu membolehkan umat Islam di negara ini tidak lagi berterusan dalam dilema dan keraguan berhubung status halal makanan dipasarkan di negara ini.
Usul lain yang diterima tanpa dibahaskan adalah berkait royalti petroleum Terengganu dikemukakan PAS Marang, lapor Berita Harian.
Selain itu, usul mengenai sasaran dua juta keahlian PAS yang dikemukakan oleh PAS Pandan diterima tanpa dibahaskan dan hal sama turut membabitkan usul bagi mengkaji semula dasar pengambilan pekerja asing dikemukakan PAS Pontian.
Ini kerana, timbul kebimbangan pengambilan pekerja asing yang semakin hari semakin ramai dilihat boleh mendatangkan ancaman termasuk mencuri peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan.
Turut diterima tanpa dibahaskan adalah usul dikemukakan PAS Jerlun yang menggesa kerajaan memberikan nafas baharu kepada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) supaya menjadi pemain industri padi utama negara.
Source link