Peguam Negara Idrus Harun berkata pihaknya merancang mencetak semula Perlembagaan Persekutuan untuk memasukkan pindaan ‘bersejarah’.
PUTRAJAYA: Pejabat Peguam Negara akan mencadangkan kepada kerajaan versi Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Malaysia sebagai teks berautoriti.
Peguam Negara, Idrus Harun, berkata Pejabat Peguam Negara juga merancang mencetak semula Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan pindaan “bersejarah” yang digubal, baru-baru ini.
“Dua cadangan ini tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada majlis pembukaan tahun perundangan 2023.
Antara pindaan Perlembagaan bersejarah digubal, baru-baru ini, membabitkan penurunan umur mengundi dari 21 kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik, yang digazetkan pada 1 Dis 2021.
Idrus berkata, ada satu lagi pindaan Perlembagaan akan dilakukan yang memerlukan sokongan golongan undang-undang membabitkan ibu warga Malaysia boleh memindahkan taraf kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara.
Katanya, satu lagi pindaan undang-undang yang memerlukan sokongan semua pihak adalah memansuhkan hukuman mati mandatori, sambil menyifatkan perkara itu sebagai “berdepan laluan berliku”.
“Rang undang-undang pindaan untuk meminda undang-undang berkaitan akan dibentangkan sekali lagi pada sesi persidangan Parlimen susulan pembubaran Parlimen (pada Oktober).
“Diharapkan demokrasi kita kekal utuh dan mencapai tahap lebih tinggi dengan terbentuknya kerajaan baharu dan cadangan pindaan akan membuahkan hasil,” katanya.
Pada Januari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata memo Jemaah Menteri akan dikemukakan bagi cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan memberi taraf kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara melalui ibu rakyat Malaysia.
Sehingga kini, kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh wanita rakyat Malaysia tidak berhak mendapat kerakyatan automatik kerana dalam Perlembagaan hanya memperuntukan perkara itu menerusi bapa sahaja.
Azalina juga berkata, kerajaan akan meminda undang-undang berkait hukuman mati mandatori bagi membenarkan hukuman alternatif, pada sidang Parlimen bermula Februari.