DUOPHARMA Biotech Bhd merancang melaksanakan strategi serampang empat mata untuk meluaskan pengembangan portfolio produk penjagaan penggunanya, mempelbagaikan operasi ke dalam produk biologi dan terkhusus yang bernilai tinggi, menaik taraf kemudahan pengeluaran kepada aset bertaraf dunia dan memperluas operasinya di Asean.
Pengarah Urusan Kumpulan, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, syarikat itu mengekalkan kedudukannya sebagai syarikat farmaseutikal terulung di Malaysia dari segi kuantiti jualan dan nombor dua dari segi nilai, yang dibantu oleh prestasi kukuh perniagaan produk penjagaan pengguna.
“Flavettes Effervescent (vitamin C) terutamanya semakin laris dalam kategori produk penguat imun. Kami juga sudah melancarkan satu lagi produk bioserupa – Zuhera untuk kanser payudara, selain daripada Erysaa, yang digunakan untuk merawat anemia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat agung tahunan maya kumpulan itu, semalam.
Selain meluaskan portfolio produk lazim Duopharma Biotech, kumpulan terus mengembangkan platform halalnya yang kini membezakannya daripada syarikat pesaing.