Norazam Khamis berkata, satu-satunya peluang untuk hidup adalah jika mangsa terperangkap berhampiran pokok yang tumbang atau batu besar. (Gambar Facebook)
BATANG KALI: Peluang untuk menemui mangsa yang masih hilang dalam keadaan selamat adalah tipis, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis.
Menurutnya, pada peringkat ini, satu-satunya untuk mereka terus hidup ialah jika terperangkap pada pokok yang tumbang atau batu besar.
“Peluang untuk mereka hidup adalah tipis kerana tidak ada oksigen jika tertimbus dalam tanah,” katanya pada sidang media.
Kejadian tanah runtuh itu berlaku awal pagi semalam tiga tapak perkhemahan berhampiran jalan Batang Kali-Genting Highlands.
Berdasarkan rekod pendaftaran pelawat pengendali tapak perkhemahan, terdapat 94 orang di tapak perkhemahan ketika tanah runtuh di mana 61 orang telah diselamatkan.
Setakat ini, 21 disahkan maut manakala 12 lagi masih hilang. Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Norazam berkata anggota penyelamat sedang berusaha sedaya upaya untuk mengesan mangsa dengan bantuan anjing pengesan.
Katanya, jika mangsa yang masih hilang gagal ditemui dalam tempoh tujuh lagi, pihaknya akan berbincang dengan polis untuk melanjutkan operasi mencari dan menyelamat.
“Kita cuba yang terbaik untuk mengesan mangsa.”
Malam tadi, usaha mencari dan menyelamat dihentikan pada 11.30 malam susulan hujan lebat. Ia diteruskan semula jam 8.30 pagi ini oleh 135 anggota mencari dan menyelamat.