Nikolay Gryazin, pemandu rali dari Rusia (tetapi memegang lesen memandu dari Bulgaria) hadir ke pusingan terakhir Kejuaraan Rali Dunia (WRC) tahun ini iaitu Rally Japan 2024 dengan kejutan apabila jentera rali Citroen C3 Rally2 yang dipandunya mengenakan warna badan putih-hitam ‘Panda’, seperti Toyota Sprinter Trueno AE86 milik watak utama dalam anime Jepun, Initial D.
Tema warna berkenaan menggantikan warna merah-putih-hitam dengan tajaan dari syarikat minyak pelincir Yacco sebelum ini. Menurut laman Facebook rasmi Forum8 Rally Japan, Gryazin memilih warna panda pada kereta ralinya kali ini kerana beliau begitu menggemari siri animasi berkisar perlumbaan jalan raya dari Jepun berkenaan.
Livery baharu berkenaan terdedah ketika Gryazin melakukan ujian sebelum berlangsungnya Rally Japan 2024 di jalan-jalan bukit sekitar wilayah Aichi dan Gifu hujung minggu ini. “Kereta rasa bagus walaupun di atas permukaan jalan yang licin. Rally Japan ada banyak selekoh kelajuan rendah, dan ia agak sukar untuk membuat strategi. Sasaran saya adalah untuk menang WRC2!” katanya.


Gryazin berada dalam kedudukan keempat dalam carta pungutan mata bagi kelas WRC2 musim ini. Namun dia merupakan antara pelumba yang berpeluang untuk menjadi juara kelas tersebut selain pemandu Toyota, Sami Pajari yang berada di tangga ketiga.
Ini kerana pendahulu kejohanan, Oliver Solberg dan Yohan Rossel yang berada di tempat kedua sudah melengkapkan tujuh pusingan dari 13 pusingan untuk musim ini. Bagi kelas WRC2 iaitu satu kelas di bawah kategori utama Rally1, pelumba hanya diberikan peluang untuk mengutip mata dalam 7 pusingan sahaja, salah satunya adalah untuk mengekalkan kejohanan ini boleh disertai dengan kos lebih rendah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.