Kejadian pembentung runtuh di KM109.378, Jalan Kota Kinabalu-Sandakan di kawasan Ranau itu membahayakan laluan tersebut, menyebabkan ia tidak boleh dilalui. (Gambar Facebook JKR Sabah)
PETALING JAYA: Jalan Kota Kinabalu-Sandakan di kawasan Ranau, Sabah ditutup sementara kerana terputus akibat pembentung runtuh susulan hujan lebat berterusan semalam.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sabah memaklumkan bahawa kejadian di KM109.378, Ranau itu membahayakan laluan tersebut, menyebabkan ia tidak boleh dilalui sebarang jenis kenderaan.
“Pengguna jalan raya boleh melalui laluan alternatif melalui Jalan Sinarut Baru Togudon Baru, namun hanya untuk kenderaan kecil.
“Mohon patuhi arahan & papan tanda keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Jalan Kota Kinabalu-Sandakan adalah antara jalan utama menghubungkan Pantai Barat dan Timur negeri ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat pada 8.35 malam tadi untuk beberapa kawasan, antaranya di Pantai Barat Sabah melibatkan daerah Ranau, Tuaran dan Kota Belud hingga 1 pagi.
Previous articleIngs gives Villa share of spoils in Midlands derby