PETALING JAYA: Pemuda PKR menggesa presiden parti Anwar Ibrahim segera bertindak tegas bagi membersihkan PKR daripada anasir “pengkhianat” yang masih wujud dalam kalangan ahli dan pemimpin parti.
Setiausaha Pemuda PKR, Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, sikap pemaaf dan jiwa besar ditunjukkan presiden sudah tidak lagi sesuai dan tidak kena pada tempatnya kerana terdapat pemimpin yang mengambil kesempatan bersekongkol dengan pengkhianat.
“Kita merasakan sikap jiwa besar dan pemaaf presiden sudah tidak kena tempat lagi. Presiden perlu beri mesej jelas bahawa parti tidak boleh menerima dalang dan orang yang bersekongkol dengan dalang.
“Ini supaya anggota parti faham dan bijak menentukan siapakah yang mereka perlu ikut dan perlu lawan. Inilah masalahnya bila terlalu berjiwa besar, akhirnya anggota parti menganggap perkara ini boleh ditoleransi,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.
Ahmad Syukri turut menyerahkan memorandum kepada wakil pejabat setiausaha agung dan wakil pejabat lembaga disiplin parti, yang menurutnya mengandungi senarai 18 pemimpin yang dilihat mempunyai kaitan rapat dengan “pengkhianat parti”.
“Pemuda PKR mendesak individu ini segera dipecat daripada parti. Dalam memorandum ini, kami menyenaraikan seramai 18 individu yang merupakan pengikut rapat kepada bekas timbalan presiden parti,” katanya, merujuk kepada Mohamed Azmin Ali yang dipecat sebelum ini.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama 18 pemimpin berkenaan.
Menurutnya, pembelotan segelintir pemimpin PKR sebenarnya sudah dijangka memandangkan tindakan mereka sebelum ini sering meletakkan parti dalam posisi yang sukar sehinggalah menyebabkan mereka menyusun strategi untuk menumbangkan kerajaan.
“Pemuda PKR khuatir, sekiranya kumpulan yang masih berbaki ini terus dibiarkan berada dalam PKR, mereka akan menjadi barah yang bakal meledakkan episod pengkhianatan yang berterusan. PKR tidak dapat bergerak ke hadapan jika menyimpan virus ini,” katanya.
Pada 24 Feb PKR memecat Azmin dan naib presiden Zuraida Kamaruddin berikutan satu majlis makan malam yang diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya membabitkan mereka berdua dan sebilangan ahli Parlimen PKR dan PPBM serta turut melibatkan pemimpin pembangkang, termasuk Umno, PAS dan GPS.
Anwar ketika itu berkata, ia adalah percubaan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membabitkan pemimpin PPBM dan PKR “yang khianat”.