MELAKA: Penularan wabak Covid-19 di negara ini memberi kesan pada sektor penternakan telur ayam yang didakwa menyebabkan penternak mengalami kerugian jutaan ringgit.
Timbalan pengerusi Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia Lee Yoon Yeau berkata, wabak itu menyebabkan permintaan telur ayam berkurang, manakala harga dedak, iaitu jagung dan soya yang diimport dari luar negara, meningkat kira-kira 30%.
Beliau berkata, 75% daripada dedak tersebut terdiri daripada jagung dan soya yang diimport dari Brazil, Amerika Syarikat dan Argentina.
“Situasi ini berlaku kepada semua penternak ayam telur di negara ini dan penternak terpaksa menjual di bawah harga kos kerana kami tidak mempunyai pilihan.
“Penternak juga rugi kira-kira 10 sen bagi sebiji telur ayam untuk semua gred telur, khususnya gred B,” katanya hari ini.
Lee yang juga pengerusi Persatuan Penternak Melaka berkata, dasar kerajaan Singapura mengurangkan jumlah import telur ayam dari Malaysia sebanyak 25% turut memberi kesan terhadap industri itu.
Menurut beliau, sebelum ini sebanyak 4 juta biji telur ayam dari Malaysia dieksport ke Singapura, sekali gus menyebabkan berlakunya lebihan dalam pasaran tempatan ketika ini.
“Di Melaka, pengeluaran telur ayam adalah sebanyak 8 juta biji sehari membabitkan 5 penternak utama untuk pasaran dalam dan luar negara.
“Daripada jumlah itu, kira-kira 800,000 hingga 1 juta biji telur sehari adalah untuk pasaran Melaka,” katanya yang juga pengurus pemasaran Lian Foo Poultry Farm di Masjid Tanah.
Beliau berkata salah satu langkah yang boleh dilakukan penternak bagi mengurangkan beban kerugian adalah dengan menghentikan pengeluaran telur ayam dalam tempoh 2 hingga 3 bulan agar dapat mengimbangi harga.
Beliau juga meminta kerajaan menimbangkan pemberian subsidi, khususnya makanan ternakan ayam telur, selain meminta rakyat makan lebih banyak telur ayam bagi meningkatkan permintaan.
Sebelum ini, seorang pengurus ladang penternakan menulis surat kepada sebuah portal berita mengenai kenaikan harga bahan makanan ternakan sebanyak 3 kali sejak Februari lepas, yang turut memberi kesan terhadap harga makanan.