
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan penutupan Jalan Sungai Besi menghala ke Sungai Besi atau Petaling Jaya (berhadapan Fraser Business Park) dan Bulatan Loke Yew ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.
Walau pun tidak memaklumkan alasan penangguhannya, DBKL berkata pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan berkenaan seperti biasa.
Beberapa hari lalu, DBKL telah mengumumkan laluan berkenaan akan ditutup selama setahun mulai 5 Ogos 2023. Penutupan jalan terbabit dilaksanakan bagi kelancaran kerja-kerja pengubahsuaian dan pembinaan jambatan di Bulatan Loke Yew dijalankan.
Ia juga melibatkan jalan susur dari Jalan Pudu ke Jalan Yew yang akan ditutup kepada semua lalu lintas pada tempoh sama. Ia bagi membolehkan kerja merobohkan jambatan susur dan pembinaan semula jambatan di Bulatan Pudu menghala ke Jalan Sungai Besi (bersebelahan Balai Polis Pudu) dijalankan.
Jadi, pengguna yang sering menggunakan laluan terlibat tidak perlu lagi gusar terpaksa mengadap kesesakan trafik berganda (sekiranya laluan berkenaan ditutup dalam tempoh masa yang lama). Boleh lalu jalan berkenaan seperti biasa. Mungkin DBKL sedang mencari jalan terbaik untuk menyediakan laluan alternatif memandangkan laluan yang direncana akan ditutup itu antara jalan yang paling sibuk di tengah bandaraya KL.
Nak jual kereta anda? Jual dengan MyTukar.