PETALING JAYA: Pengendali atau penyedia platform media sosial disyaratkan menubuhkan atau mengendali operasi syarikat di Malaysia, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Katanya, ia terkandung dalam syarat kerangka kawal selia atau pelesenan perkhidmatan media sosial diperkenalkan Khamis lalu dan akan berkuat kuasa Januari depan.
“Mereka diberi tempoh lima bulan bagi memenuhi syarat diperlukan mendapatkan lesen, antaranya menubuhkan atau operasi syarikat di Malaysia. Setakat ini, kerjasama (pengendali media sosial), tiada masalah, mereka sudah tahu perkara ini.”
“Menteri komunikasi sendiri sudah buat lawatan ke Singapura untuk bertemu mereka (pengendali) dan terlibat secara langsung. Jadi apa-apa isu, mereka boleh berhubung terus dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya menurut Berita Harian di Kulai.

Teo berkata kerajaan memberi tempoh lima bulan sebelum tarikh penguatkuasaan pada 1 Jan 2025 agar pihak pengendali media sosial memenuhi syarat yang ditetapkan.
Kelmarin, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap kerajaan dilaporkan berkata, kerajaan menegaskan pelesenan media sosial hanya terpakai untuk pengendali platform itu dan bukannya kepada pengguna atau pempengaruh.
Berdasarkan garis panduan digubal dan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mana-mana platform yang tidak mempunyai lesen selepas 1 Jan 2025 boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 126 akta itu.
Sekiranya didapati bersalah, penyedia perkhidmatan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.
Syarat itu terpaksa kepada penyedia perkhidmatan sosial dan pesanan internet mempunyai lapan juta pengikut.