Minggu Fesyen Paris yang melabuhkan tirai baru-baru ini menarik perhatian apabila salah seorang pereka menampilkan koleksi berlainan.
Ini kerana hampir kesemua model yang memperagakan busana rekaannya berjalan di pentas dengan memakai topeng muka.
Ia dilihat sangat signifikan dengan wabak Covid-19 yang ketika ini merebak di seluruh dunia.
Ia hasil karya pereka Perancis, Marine Serre yang memberi sentuhan isu semasa.
Malahan, pereka berkenaan juga menggunakan topeng muka dan vel bagi modelnya menutup wajah ketika memperagakan rekaannya pada pertunjukan yang berlangsung September tahun lalu ketika koleksi musim panas.
Ketika itu, pemakaian topeng muka dan vel itu bagi mengetengahkan aspek anti pencemaran.
Bagaimanapun kini, sesuai dengan kebimbangan global dengan wabak berkenaan, koleksi pereka ini mendapat pujian.
Selain model, penonton juga dilihat memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga.
Bukan sahaja topeng muka, malahan vel juga menjadi aksesori rekaan Marine.
Sebelum ini beberapa pertunjukkan fesyen yang sepatutnya berlangsung di New York, London, Milan dan Paris menerima kesan akibat penyebaran Covid-19.
Malah ada juga beberapa jenama terpaksa membatalkan pertunjukan kerana arahan kuarantin.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]