DASAR Automotif Nasional (NAP 2020) yang diumumkan, memperlihatkan konsistensi dalam dasar kerajaan untuk membawa ekosistem automotif Malaysia ke peringkat seterusnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, ia dapat dilihat dengan sokongan berterusan terhadap komponen tempatan sebagai tulang belakang industri automotif negara.
“Sepanjang dekad yang lalu, Perodua membeli komponen berjumlah RM43.5 bilion daripada pembekal tempatan dengan RM5.4 bilion mewakili pembelian tahun lalu dan tahun ini, kami menjangkakan perbelanjaan hampir RM6 bilion untuk membeli komponen automotif tempatan.
“Pembelian sejumlah ini mengekalkan dan memperkasa ekosistem automotif Malaysia, sekali gus menyumbang kepada ekonomi, pekerjaan dan pembangunan negara,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan.
Menurutnya, kerajaan konsisten untuk meneruskan komitmen program Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang menerima pelaburan daripada banyak pemain industri.
“Setakat ini, kami sudah menghasilkan dan menjual lebih 800,000 EEV.
“Mengenai Industri 4.0, Perodua amat menyokong penggabungan teknologi, khususnya melalui teknologi komunikasi dengan automotif.
“Kami sudahpun membuka langkah di dalam bidang ini untuk produk kami,” katanya.
Mengenai teknologi autonomi, Perodua dengan bimbingan rakan teknikal dan teknologinya, Daihatsu Motor Company of Japan, telahpun membuka langkah dengan sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) dan yang paling penting, Perodua sudah menjadikannya mampu dimiliki orang ramai.
Teknologi ini akan ditambahbaik sejajar dengan matlamat syarikat untuk memberikan mobiliti kepada rakyat Malaysia yang selamat dan menawarkan nilai lebih baik.