PETALING JAYA: Majlis Setiausaha Pakatan Harapan mempertikaikan kesediaan dan kapasiti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) memproses permohonan kelulusan kepada 9 sektor tambahan untuk meneruskan operasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa ke-3.
Ia mencadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memproses permohonan kelulusan dan menjalankan penguatkuasaan ke atas 9 sektor terpilih itu kerana laman web Miti pernah “crash” akibat dibanjiri permohonan syarikat pembuatan sebelum fasa 1 PKP bermula 18 Mac lalu.
“Pegawai Miti dan agensi terpaksa bekerja 24 jam sekurang-kurangnya seminggu untuk memproses beribu-ribu permohonan,” katanya dalam kenyataan hari ini yang ditandatangani pemimpin Amanah Dr Hatta Ramli, Fahmi Fadzil daripada PKR dan Ong Kian Ming daripada DAP.
Semalam, kerajaan mengumumkan kedai perkakasan, elektronik dan gunting rambut antara 9 sektor ekonomi tambahan dibenarkan beroperasi di bawah syarat ketat ketika PKP memasuki fasa ke-3.
Majlis Setiausaha PH berkata, huraian sektor tambahan yang tidak terlalu umum, seperti industri mesin dan peralatan akan menyebabkan jumlah permohonan bertambah kerana ada syarikat yang akan mencuba nasib dengan mengemukakan permohonan.
“Memandangkan terdapat beribu-ribu kedai hardware, kedai barangan elektrik dan elektronik, kedai gunting rambut dan perkhidmatan dobi di seluruh negara, laman web Miti akan sekali lagi dibanjiri permohonan.
“Pegawai Miti dan agensinya tidak akan mampu memproses beribu-ribu permohonan ini dalam masa singkat.”
Katanya, keputusan Putrajaya membenarkan sektor tertentu beroperasi dilakukan dengan cara tidak konsisten dan akhirnya akan menimbulkan lebih banyak kekeliruan serta kekecewaan dalam kalangan peniaga yang menderita akibat lanjutan PKP.
Ia berkata, Putrajaya sepatutnya mengumumkan prosedur operasi standard lengkap untuk sektor ekonomi tertentu seperti kedai perkakasan, kedai elektronik dan dobi.