LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dibawa ke hospital untuk menjalani ujian lanjut Covid-19 pada Ahad, kata pejabatnya 10 hari selepas beliau disahkan positif virus itu.
Johnson, 55, mengumumkan beliau mempunyai gejala ringan Covid-19 pada 27 Mac lalu dan menjalani kuarantin di rumahnya di Downing Street selama 7 hari.
Johnson yang dijadualkan kembali bertugas semula secara rasmi pada Jumaat selepas seminggu bekerja dari rumah, mengambil keputusan kekal di rumah kerana suhu badannya masih tinggi – satu daripada simptom Covid-19.
Downing Street dalam kenyataan pada Ahad berkata: “Atas nasihat doktornya, perdana menteri dimasukkan ke hospital untuk menjalani ujian malam ini.
“Ini ialah langkah berjaga-jaga kerana perdana menteri mempunyai simpton berterusan koronavirus, 10 hari selepas disahkan positif virus itu.”
Difahamkan, kemasukan Johnson ke hospital bukan kes kecemasan dan dianggap wajar kerana masih mempunyai simptom.
Johnson ialah pemimpin dunia paling berprofil tinggi yang dijangkiti virus itu. Pasangannya, Carrie Symonds sudah pulih selepas mengalami simptom selama seminggu.
Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock kembali bertugas pada Jumaat, seminggu selepas menjalani kuarantin di rumah kerana disahkan positif Covid-19.
Ketua pegawai perubatan, Chris Whitty turut menunjukkan simptom Covid-19, manakala penasihat Johnson, Dominic Cummings turut menjalani kuarantin di rumah.
Downing Street berkata, Setiausaha Luar, Dominic Raab akan mengambil alih tugas perdana menteri jika Johnson tidak boleh bertugas.
Tetapi, Johnson difahamkan masih mengetuai kerajaan dan berhubung dengan menteri serta pegawai kerajaan.