PM Anwar Ibrahim berkata, NIMP 2030 menggunakan pendekatan berasaskan misi.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang menggariskan rancangan kerajaan mentransformasi Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian berteknologi tinggi.
Tidak seperti transformasi industri sebelum ini termasuk tiga pelan induk perindustrian sejak 1986, Anwar berkata, NIMP 2030 menggunakan pendekatan “berasaskan misi”.
“Dengan tempoh tujuh tahun yang singkat, NIMP 2030 mesti mengambil pendekatan transformatif dan pantas untuk mencapai matlamat.
“Empat misi telah dirangka untuk memacu transformasi perindustrian,” katanya pada majlis pelancaran di Menara MITI.
Katanya, misi pertama untuk memajukan ekonomi dengan galakan inovasi industri dan penghasilan produk lebih canggih untuk meningkatkan daya saing negara di peringkat global.
Anwar berkata, seterusnya adalah membina negara berdaya maju dalam teknologi bagi memacu inovasi, meningkatkan produktiviti serta mencipta peluang baharu pertumbuhan ekonomi.
“Misi ketiga untuk mencapai pelepasan sifar bersih. Misi keempat NIMP adalah untuk menjaga keselamatan dan keterangkuman ekonomi,” katanya.
Katanya, melalui plan NIMP gaji pertengahan sektor pembuatan dijangka meningkat 9.6%, mencecah RM4,510 daripada RM1,976.
Katanya, rangka NIMP 2030 yang direka untuk meletakkan Malaysia sebagai kuasa ekonomi serantau akan memastikan pengagihan kekayaan ekonomi adil kepada rakyat.
Katanya, pelan itu merupakan sebahagian komponen Ekonomi Madani yang akan menghidupkan semula sektor pembuatan, bagi memastikan negara kekal berdaya saing, di sebalik cabaran dan trend mega yang semakin meningkat.
Jelasnya, NIMP 2030 berpandukan pendekatan berdasarkan misi, satu polisi bersifat horizontal yang bukan sahaja menggembleng keseluruhan ekosistem pembuatan, tetapi juga seluruh negara untuk memacu transformasi perindustrian dan merealisasikan visi negara.
“NIMP 2030 direka untuk memandu trajektori Malaysia sebagai kuasa global dalam pembangunan industri, melebarkan hubungan domestik bagi mencipta kekayangan merentasi negara, dan mengukuhkan kedudukannya dalam rangkaian nilai global.
“Pelan ini adalah bertepatan untuk mempercepatkan transformasi perindustrian di Malaysia, sejajar dengan usaha merealisasikan visi negara,” katanya.
Related Posts