Proton nampaknya akan membuat satu pengenalan penting sewaktu Malaysia Autoshow (MAS) 2025, yang akan berlangsung 9-15 Mei ini. Dalam laman media sosial, syarikat itu telah menyiarkan teaser sebuah model yang akan menyertai barisan kenderaan elektrik (EV) eMas mereka, yang setakat ini cuma terdiri daripada eMas 7.
Dipercayai adalah eMas 5 (tanda dagangnya telah didaftar), model dalam teaser yang gelap ini menyerupai Geely Star Wish atau juga dikenali sebagai Geome Xingyuan. Antara petunjuknya adalah bentuk cermin sisi serta garis melintang pada kemasan berhampiran c-pillar. Walaubagaimanapun, ini mungkin juga boleh jadi adalah eMas 3 kerana tanda dagang nama itu juga sudah didaftar.
Star Wish/Xingyuan mula muncul pada September tahun lepas dan meletakkan BYD Dolphin sebagai pesaing. Ia lebih kecil berbanding eMas 7 dengan ukuran panjang 4,135 mm, lebar 1,805 mm, tinggi 1,570 mm dan jarak roda 2,650 mm.
Di China, EV ini datang dengan tetapan pacuan roda belakang serta bateri lithium iron phosphate (LFP) CATL yang mengambil masa 21 minit untuk naik dari 30-80% (SoC). Pilihan pertama yang diberi adalah bateri 30.12 kWh, yang boleh memberikan jarak gerak sehingga 310 km mengikut standard CLTC, dipadankan bersama motor elektrik berkuasa 79 PS (78 hp atau 58 kW) dan tork 130 Nm.
Pilihan kedua pula mampu memberikan jarak gerak sehingga 410 km, hasil daripada penggunaan bateri 40.16 kWh, sambil menghasilkan kuasa yang lebih tinggi iaitu 116 PS (114 hp atau 85 kW) dan tork 150 Nm. Harga untuk Star Wish/Xingyuan di China adalah antara 68,800 ke 97,800 yuan (sekitar RM40k ke RM57k).
Bergantung kepada varian, kelengkapan untuk model ini boleh termasuk rim 16 inci, lampu hadapan dan belakang LED, skrin sesentuh 14.6 inci untuk infotainmen (atau 10.1 inci), lampu suasana 256 warna, enam pembesar suara (atau empat), pembekal kuasa luar 3.3 kW, tempat duduk larasan kuasa atau manual, panel meter digital 8.8 inci, pengecas tanpa wayar 50W, pendingin hawa automatik dengan corong belakang serta pakej ADAS.
Memandangkan ia terletak di bawah eMas 7, eMas 5 (atau eMas 3) ini dipercayai akan menjadi EV paling mampu milik daripada Proton. Para pengedar sudah pun berpeluang mendekati Star Wish/Xingyuan ini, dan kami juga sudah bertemu dengannya di Bangkok Mac lalu. Adakah anda juga menunggu model ini?
GALERI: Geely Star Wish di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.